Mengembalikan Hak Ilmu kepada Masyarakat: Masa Depan Penerbitan Ilmiah Negara
Mengembalikan Hak Ilmu kepada Masyarakat: Masa Depan Penerbitan Ilmiah Negara

Saban tahun, jutaan ringgit wang rakyat disalurkan ke universiti awam melalui geran penyelidikan sebagai satu bentuk pelaburan nasional yang sarat dengan amanah dan aspirasi yang cukup besar. Peruntukan ini merupakan pelaburan strategik yang bertujuan memastikan setiap penemuan saintifik mahupun kajian sosial yang dihasilkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai solusi kepada permasalahan komuniti, memacu inovasi industri, serta meningkatkan kualiti hidup rakyat secara keseluruhannya. Namun, wujud satu ironi yang menyedihkan apabila hasil kajian yang dibiayai oleh wang rakyat ini akhirnya diserahkan kepada syarikat penerbitan antarabangsa, lalu dikunci ketat di sebalik sistem langganan yang menelan belanja ribuan ringgit untuk diakses.
Keadaan ini telah menjadikan ilmu pengetahuan yang sepatutnya menjadi hak milik awam bertukar menjadi komoditi eksklusif yang hanya mampu dinikmati oleh golongan elit cendekiawan. Halangan akses ini memberikan kesan langsung kepada pelbagai pihak, daripada penggubal dasar yang memerlukan sandaran empirikal sehinggalah kepada pengamal profesional dan masyarakat awam yang memerlukan rujukan sahih. Sering kali, biarpun rujukan kritikal telah berjaya dikenal pasti, usaha tersebut berakhir dengan jalan buntu apabila aksesnya dikunci rapat di sebalik tembok berbayar dengan kos yang tidak munasabah bagi setiap salinan digital. Amalan komersial sebegini bukan sahaja mengecilkan ruang penyebaran ilmu, malah melebarkan lagi jurang antara menara gading yang sarat dengan teori dan realiti keperluan praktikal di lapangan yang amat memerlukan solusi pantas bagi mendepani cabaran semasa.
Kekangan akses yang dialami oleh segenap pemegang taruh dalam ekosistem ini sebenarnya berkait rapat dengan model pengkomersialan oleh penerbit antarabangsa yang bukan sahaja memberikan kesan kepada penyebaran ilmu, malah turut memberikan tekanan yang tidak wajar kepada institusi pendidikan itu sendiri. Universiti terpaksa membelanjakan peruntukan yang sangat besar setiap tahun semata-mata untuk melanggan pangkalan data jurnal, seolah-olah terpaksa membeli semula akses kepada karya yang dihasilkan oleh penyelidik mereka, sedangkan proses penilaian pula telah dilaksanakan secara sukarela oleh rakan sejawat. Model perniagaan yang berat sebelah ini secara perlahan-lahan melumpuhkan potensi sebenar sains dan penyelidikan sebagai agen perubahan sosial yang berkesan.
Dilema Akademik dan Revolusi Akses Terbuka
Bagi warga akademik pula, situasi ini sering meletakkan mereka dalam dilema yang berpanjangan. Sistem penilaian dan petunjuk prestasi utama di universiti pada hari ini memberi penekanan yang sangat tinggi terhadap penerbitan di jurnal antarabangsa berimpak tinggi. Walaupun ini kelihatan seperti satu penanda aras kecemerlangan yang baik, realitinya ia kadangkala memaksa penyelidik untuk menghasilkan kajian yang lebih menjurus kepada minat global berbanding menyelesaikan permasalahan domestik. Lebih malang lagi, apabila kajian tempatan yang berpotensi besar untuk membantu kita akhirnya terpaksa diserahkan hak ciptanya kepada pihak luar, semata-mata demi memenuhi syarat kenaikan pangkat. Persoalan fundamental kini menuntut jawapan jujur: adakah penyelidikan akademik masih bermatlamatkan kesejahteraan masyarakat, atau sekadar mengejar prestij di pangkalan data dunia?
Menyedari kekangan yang wujud dalam sistem sedia ada ini, banyak institusi di seluruh dunia kini mula mengorak langkah ke arah inisiatif akses terbuka. Institusi pendidikan sewajarnya tidak hanya melihat penerbitan sebagai satu metrik untuk mengejar taraf kedudukan universiti, sebaliknya mengembalikannya kepada fungsi asal iaitu sebagai medium untuk menyebarkan manfaat ke seluruh pelusuk masyarakat tanpa sebarang diskriminasi dan sempadan kelas sosial.
Pergerakan akses terbuka ini bukanlah satu gagasan yang tercetus tanpa asas yang kukuh. Malah, ia telah didorong secara agresif oleh pelbagai inisiatif serta deklarasi global yang bersejarah. Bermula dengan Inisiatif Akses Terbuka Budapest (BOAI) pada 2002, deklarasi ini menetapkan definisi asas serta memperjuangkan hak akses percuma terhadap literatur saintifik. BOAI meletakkan asas falsafah yang kemudiannya berevolusi kepada kempen lebih agresif seperti Pelan S oleh gabungan agensi pembiaya antarabangsa. Pelan S memperkenalkan mandat radikal yang mewajibkan semua hasil penyelidikan dana awam diterbitkan melalui platform akses terbuka sepenuhnya. Langkah ini secara langsung memaksa penerbit komersial merombak model perniagaan mereka demi memenuhi tuntutan ketelusan ilmu. Usaha ini juga selari dengan saranan UNESCO dalam memartabatkan amalan Sains Terbuka sejagat. Walau bagaimanapun, ia menuntut iltizam universiti untuk membuktikan bahawa akses terbuka tidak menjejaskan kualiti; integriti akademik tetap utuh kerana hanya model pengedarannya yang kini lebih manusiawi.
Tembok Kewangan Baharu dan Ancaman Diskriminasi
Walau bagaimanapun, revolusi akses terbuka ini turut membawa satu cabaran baharu yang tidak dijangka apabila ia dikomersialkan secara berlebihan oleh sesetengah syarikat penerbitan gergasi. Dalam model ini, beban kewangan dipindahkan ke bahu penulis melalui Caj Pemprosesan Artikel (APC). Dari perspektif pengoperasian yang objektif, APC dilihat sebagai mekanisme perlu bagi menampung kos pengurusan editorial yang kompleks, proses saringan ulasan rakan sejawat yang teliti, serta penyelenggaraan platform digital demi kelestarian akses.
Namun, kebergantungan terhadap model ini sering disalahguna apabila terdapat pihak yang menjadikannya alat memaksimumkan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan integriti akademik. Fenomena penerbitan 'predator' yang mengeksploitasi sistem ini demi mengaut bayaran tinggi telah melahirkan persepsi negatif bahawa akses terbuka adalah platform 'berbayar' yang berkompromi dengan kualiti saintifik. Kesan daripada stigma ini bukan sahaja mencemarkan kredibiliti gerakan sains terbuka, malah mewujudkan sistem diskriminasi akademik yang memihak kepada penyelidik dengan dokongan dana yang besar sahaja. Ironinya, meskipun tembok berbayar untuk membaca telah dirobohkan, ia pantas digantikan dengan tembok kewangan untuk menerbitkan karya, sekali gus meminggirkan para penyelidik dari negara membangun atau institusi yang kekurangan sumber. Hal ini akhirnya menjadikan dunia penyebaran ilmu bagaikan sebuah kelab eksklusif bagi mereka yang memiliki kekuatan kewangan yang besar, bukannya berdasarkan merit intelektual dan sumbangan ilmu yang berwibawa.
Dalam mendepani cabaran global yang rencam tersebut, peranan penerbit universiti kini menjadi semakin signifikan dalam memikul tanggungjawab membina ekosistem penerbitan lestari berasaskan platform akses terbuka yang diuruskan secara kendiri. Namun, keberkesanan inisiatif ini sangat bergantung kepada sokongan sistemik melalui penggubalan polisi yang strategik oleh pihak pengurusan tertinggi universiti dan kementerian berkaitan. Tanpa mandat dan garis panduan yang jelas daripada pihak pembuat dasar, usaha teknikal di peringkat penerbit sukar untuk membuahkan hasil yang menyeluruh. Oleh itu, penyelarasan dasar amat diperlukan bagi memastikan platform kendiri ini diiktiraf sebagai medium utama penyebaran ilmu negara. Ikhtiar sebegini bukan sekadar langkah proaktif untuk meruntuhkan tembok berbayar yang memisahkan ilmu daripada masyarakat, malah ia bertindak sebagai tunjang utama dalam mengembalikan kedaulatan intelektual tempatan melalui dokongan perundangan dan tadbir urus yang mantap.
Memperkasa Kedaulatan Intelektual Negara
Melalui pemerkasaan platform penerbitan universiti yang disokong oleh polisi yang inklusif, dilema warga akademik yang sering terperangkap antara tuntutan kerjaya dan beban kos pemprosesan artikel yang melampau dapat diatasi secara beransur-ansur. Keberkesanan ekosistem kendiri ini turut menyentuh soal kecekapan pengurusan sumber negara; apabila pihak pembuat dasar meletakkan keutamaan kepada penerbitan tempatan yang berwibawa, peruntukan institusi serta dana geran yang sebelum ini mengalir keluar ke syarikat penerbitan gergasi kini dapat diimbangi dan disalurkan kembali ke tempat yang lebih kritikal. Dengan autonomi penuh dan perlindungan dasar yang kukuh, universiti tidak lagi sekadar menjadi pembekal kandungan kepada pihak luar, sebaliknya bertindak sebagai penggerak utama dalam kitaran ekonomi ilmu yang mandiri dan berintegriti.
Naratif bahawa ilmu itu mahal dan eksklusif perlu dihentikan segera demi memacu kemajuan negara yang lebih inklusif. Apabila pengetahuan tidak lagi dijadikan barang dagangan, tembok-tembok birokrasi dan komersial yang selama ini membantutkan inovasi akan runtuh dengan sendirinya. Penemuan dalam sesuatu bidang kini dapat dicapai, dikaji semula, dan digabungkan merentas disiplin oleh pelbagai pihak tanpa sebarang halangan, lantas mewujudkan satu budaya intelektual yang subur. Usaha berterusan ini adalah satu pembuktian kukuh bahawa universiti di negara ini mempunyai keupayaan dan keberanian untuk berdiri secara mandiri dalam menyebarkan syiar ilmu, tanpa perlu lagi tunduk kepada tekanan komersial serta piawaian yang dicanai oleh pihak luar yang akhirnya merugikan masyarakat umum.
Tuntasnya, pendemokrasian pengetahuan adalah satu tanggungjawab moral bersama yang menuntut iltizam kolektif daripada segenap lapisan ekosistem pendidikan tinggi. Penyebaran ilmu yang berkesan tidak seharusnya terhenti di takuk penerbitan semata-mata, sebaliknya ia perlu bersifat inklusif agar dapat menembusi setiap sanubari masyarakat bagi mencetuskan perubahan yang nyata. Kepada pihak pemegang amanah dan pembuat dasar, satu anjakan paradigma yang berani amat diperlukan untuk menilai semula struktur ganjaran serta kriteria prestasi akademik agar lebih memihak kepada pengiktirafan platform akses terbuka tempatan. Sementara itu, kepada para penyelidik, marilah kita mengembalikan roh penyelidikan kepada tujuan asalnya iaitu sebagai khidmat bakti kepada kemanusiaan melalui penghasilan karya yang berkualiti tinggi dan mudah dicapai oleh semua. Masa depan sesebuah negara tidak hanya ditentukan oleh timbunan kertas di arkib digital, tetapi sejauh mana ilmu tersebut disebarluaskan dan diaplikasikan untuk memartabatkan kehidupan masyarakat secara keseluruhannya.
Nukilan -
Prof. Madya Dr. Azwan Bin Sapit
Encik Mohammad Ahyar Bin Zulkefli
