Autoriti dan Legitimasi dalam Pengeluaran Fatwa Semasa Pandemik COVID-19: Analisis Peranan Mufti dan Ancaman Fatwa Tidak Berautoriti
Keywords:
Fatwa, badan berautoriti, pandemik, Covid 19Abstract
Perubahan drastik dalam kehidupan masyarakat akibat pandemik COVID-19 telah mendorong kepada keperluan penetapan fatwa-fatwa baharu bagi menangani pelbagai isu agama yang timbul. Dalam konteks ini, institusi berautoriti seperti mufti memainkan peranan penting dalam menggubal fatwa berdasarkan nas-nas syarak dan keperluan semasa. Namun begitu, wujud segelintir individu atau kumpulan yang tidak berautoriti yang turut mengeluarkan pandangan agama secara bebas, lalu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Justeru, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti pihak berautoriti dalam pengeluaran fatwa semasa pandemik, meneliti kesan fatwa daripada pihak tidak berautoriti, serta mengenal pasti sumber rujukan yang digunakan oleh pihak berautoriti dalam merumuskan fatwa. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif dengan menganalisis data yang diperoleh daripada sumber-sumber sekunder seperti buku, artikel ilmiah dan bahan berkaitan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa institusi yang berautoriti dalam pengeluaran fatwa adalah para mufti negeri, yang menggubal fatwa berdasarkan al-Quran, hadis serta prinsip-prinsip fiqh kontemporari. Proses penggubalan fatwa ini melibatkan pindaan, penyesuaian serta pembatalan fatwa terdahulu mengikut keperluan semasa. Kajian turut mendapati bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh pihak tidak berautoriti memberi implikasi negatif, termasuk mencetuskan kekeliruan dan ketidaktentuan dalam kalangan masyarakat Islam.




