Pengurusan Jenazah Pesakit COVID-19 di Malaysia: Analisis dari Perspektif Fiqh Islam dan Amalan Perubatan
Keywords:
COVID-19, pengurusan jenazah, fiqh Islam, fatwa, kesihatan awam, MalaysiaAbstract
Artikel ini membincangkan isu semasa berkaitan dengan pengurusan jenazah pesakit yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Malaysia. Wabak Coronavirus yang mula dikesan di Wuhan, China telah menular ke seluruh dunia, termasuk Malaysia, dan menjadi penyebab utama kepada peningkatan kadar kematian dalam kalangan pesakit yang dijangkiti. Pengurusan jenazah dalam konteks pandemik ini melibatkan gabungan aspek keagamaan dan perubatan, terutamanya dalam usaha mencegah penularan jangkitan virus yang berbahaya. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis secara mendalam isu-isu berkaitan prosedur pengurusan jenazah pesakit COVID-19 dengan meneliti pandangan fiqh Islam serta garis panduan perubatan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Pendekatan kajian yang digunakan adalah kajian kepustakaan (library research) dengan menggunakan kaedah kualitatif melalui analisis konsep dan perbandingan. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat keserasian antara panduan pengurusan jenazah COVID-19 yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan dengan prinsip-prinsip fiqh Islam. Keperluan syariah dan kesihatan dapat dipenuhi secara seimbang tanpa mengabaikan hak-hak si mati sebagai Muslim.




