Penetapan Fatwa Terhadap Rawatan Perubatan Dialisis bagi Pesakit Kronik Kegagalan Buah Pinggang dalam Melahirkan Masyarakat Sejahtera di Malaysia
Keywords:
Rawatan dialisis, Fatwa Malaysia, Masaqid al-Syariah, KesejahteraanAbstract
Mohd Huefiros Efizi bin Husain, Mohd Ali bin Muhamad Don, Mohd Rilizam bin Rosli & Mohd Farhan bin Ahmad
Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang.
Abstrak:
Rawatan dialisis merupakan ikhtiar perubatan untuk memperoleh tahap kesihatan yang baik dan memanjangkan tempoh hayat pesakit mengikut disiplin ditetapkan. Rawatan ini turut melibatkan interaksi sosial di kalangan pesakit, petugas dan doktor secara konsisten dalam memantau perjalanan rawatan supaya ia berkesan. Selain itu, tidak terkecuali institusi sokongan dengan pembiayaan kos rawatan dialisis bagi bertujuan meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit. Peningkatan jumlah pesakit setiap tahun membuka mata banyak pihak untuk bertindak serius memastikan kesejahteraan masyarakat terpelihara. Namun, pelaksanaan rawatan dialisis masih berdepan dengan kesulitan apabila terdapat pesakit mengabaikan konsistensi rawatan, begitu juga petugas yang memandang ringan terhadap disiplin prosedur rawatan di pusat dialisis. Bahkan timbul isu gharar dalam penggunaan peralatan yang diwakafkan. Kesan daripada itu, ia membina budaya yang tidak sihat dalam merealisasikan 'Malaysia Sejahtera' dalam meastikan prestasi kesihatan masyarakat berada di tahap yang baik. Oleh itu, kajian ini akan mengemukakan senarai fatwa terhadap pelaksanaan rawatan dialisis di Malaysia membabitkan pesakit kronik kegagalan buah pinggang dan kepentingannya untuk kesejahteraan bersama. Kajian kualitatif diaplikasikan untuk mencapai objektif kajian dengan berpandukan kajian para sarjana daripada tesis, jurnal dan keputusan penetapan fatwa yang disediakan dalam jawatankuasa fatwa kebangsaan di Malaysia. Hasil kajian mendapati penetapan fatwa merangkumi pelbagai aspek dalam pelaksanaan rawatan dialisis melibatkan fatwa pelaksanaan ibadat dan fatwa bantuan kewangan. Kajian ini mencadangkan rawatan dialisis perlu difahami dengan jelas sama ada daripada individu, organisasi dan masyarakat demi memastikan kesejahteraan terpelihara.
Kata kunci : Rawatan dialisis, Fatwa Malaysia, Maqasid al-Syariah, Kesejahteraan.




