Pemerkasaan Amalan Pertanian dan Makanan Menurut Sudut Pandang Islam: Kajian Kes di Malaysia
Keywords:
Dasar pertanian, Halal, Pertanian lestari, Sekuriti makananAbstract
Artikel ini meneliti secara menyeluruh kedudukan semasa sektor pertanian dan makanan di Malaysia dengan mengambil kira aspek cabaran semasa, dasar kerajaan, serta sumbangan besar tamadun Islam dalam membina pendekatan pertanian yang lestari, beretika dan berorientasikan nilai. Perbincangan ini bermula dengan menganalisis kesan amalan pertanian konvensional yang menyebabkan degradasi alam sekitar dan risiko kepada kesihatan manusia. Kajian ini kemudian menyoroti pelbagai dasar kerajaan seperti Dasar Pertanian Negara dan Dasar Agro Makanan Negara yang memberi fokus kepada sekuriti makanan, kelestarian alam, dan kemampanan pengeluaran. Peranan konsep Islam seperti halalan tayyiban dan istihalah dibincangkan sebagai asas dalam memastikan makanan yang dihasilkan adalah selamat, bersih dan berkhasiat. Di samping itu, amalan pertanian lestari seperti penggunaan sumber semula jadi secara bijak, pematuhan kepada persijilan ladang (seperti MyGAP dan SOM), serta pengaplikasian teknologi moden seperti pertanian pintar dan pengurusan perosak bersepadu (IPM) turut dihuraikan. Kajian ini menyarankan pemerkasaan sektor agro-makanan di Malaysia dilakukan melalui pendekatan bersepadu yang bukan sahaja menekankan keberkesanan polisi tetapi juga integrasi nilai-nilai Islam dalam setiap tahap pengeluaran makanan. Implikasi daripada kajian ini dapat membantu menyusun semula kerangka pemikiran sektor agro-makanan ke arah lebih mampan dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran global seperti krisis makanan, perubahan iklim dan kekangan sumber.




