Faktor-faktor Mempengaruhi Stigma Sosial Terhadap Janitor Pembersihan di Universiti
Keywords:
stigma sosial, persepsi pekerjaan , kesejahteraan emosi, peluang ekonomi, sokongan majikanAbstract
Janitor memainkan peranan penting dalam memastikan kebersihan dan kesejahteraan persekitaran institusi, namun mereka sering berdepan stigma sosial yang menjejaskan maruah serta kesejahteraan sosial mereka. Kajian ini bertujuan mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi stigma sosial terhadap janitor tempatan di universiti. Dua objektif utama kajian ini ialah mengenal pasti profil-profil janitor tempatan di universiti dan mengkaji faktor-faktor yang menyumbang kepada stigma sosial terhadap janitor tempatan. Pendekatan kuantitatif telah digunakan melalui edaran soal selidik kepada 100 orang janitor tempatan di Universiti Malaysia Terengganu. Instrumen soal selidik disusun dalam empat bahagian dan dianalisis menggunakan perisian SPSS. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor persepsi rendah terhadap pekerjaan janitor, kekangan ekonomi, serta kekurangan pengiktirafan memberi kesan signifikan terhadap pembentukan stigma sosial. Di samping itu, kurangnya sokongan dan peluang peningkatan kerjaya turut mengukuhkan pandangan negatif terhadap profesion ini. Kajian mencadangkan agar pelbagai pihak seperti kerajaan, majikan dan masyarakat umum mengambil langkah aktif menjenamakan semula pekerjaan janitor, memperluas latihan dan insentif, serta mengadakan kempen kesedaran untuk mengurangkan diskriminasi sosial. Kesimpulannya, menghapuskan stigma sosial terhadap janitor memerlukan pendekatan holistik yang mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan masyarakat.




