Kota, Perdagangan, dan Umran di Alam Melayu: Analisis Sejarah Pelabuhan melalui Perspektif Ibn Khaldun
Keywords:
Ibn Khaldun, Umran, Alam Melayu, Kota Pelabuhan, Sejarah EkonomiAbstract
Kajian ini meneliti peranan kota pelabuhan di Alam Melayu sebagai pusat kegiatan perdagangan, sosial, dan politik berdasarkan kerangka pemikiran Ibn Khaldun tentang konsep umran (pembangunan tamadun). Ibn Khaldun menegaskan bahawa kemajuan sesebuah masyarakat bergantung pada hubungan simbiotik antara kuasa politik, kekuatan ekonomi, dan nilai moral. Berdasarkan perspektif ini, pelabuhan seperti Melaka, Aceh, dan Johor bukan sahaja berfungsi sebagai pusat perdagangan, tetapi turut menjadi nadi kepada pembentukan tamadun maritim Islam di rantau ini. Kajian ini menggunakan sumber tempatan dan kolonial bagi menelusuri evolusi fungsi pelabuhan dalam konteks geopolitik, ekonomi, dan budaya dari abad ke-15 hingga ke-19. Melalui pendekatan sejarah dan analisis teks, dapatan kajian menunjukkan bahawa jaringan perdagangan di Alam Melayu berkembang sebagai manifestasi umran yang berteraskan keadilan, kerjasama, dan kemakmuran bersama, selaras dengan gagasan Ibn Khaldun mengenai kemakmuran yang berpaksikan nilai moral dan kestabilan politik.




