Integrasi Model Biopsikososial-spiritual dan Kaunseling Islam Ke Arah Memperkasakan Kesejahteraan Psikologi Mahasiswa Muslim Era Digital
Keywords:
Kaunseling Islam, Kesihatan mental, Mahasiswa Muslim, Kerohanian, Biopsikososial-spiritualAbstract
Mahasiswa hari ini merupakan golongan yang mempunyai hubungan rapat dengan perkembangan teknologi digital. Kemudahan ini menjadi satu keperluan kerana ia melibatkan pelbagai aspek kehidupan seperti pendidikan, interaksi sosial, sumber maklumat dan hiburan serta ekonomi. Fenomena ini didapati telah mengubah corak kehidupan mereka termasuk dari segi isu kesihatan mental yang melibatkan cara berfikir dan pengurusan psikologi. Malah, perkembangan teknologi digital menunjukkan perubahan trend yang bersifat lanjutan daripada isu psikologi sedia ada. Ini memerlukan tindakan proaktif daripada pihak seperti kaunselor untuk memastikan mahasiswa berdaya tahan menghadapi cabaran di era digital ini melalui tumpuan terhadap aspek kerohanian di samping aspek biologi, kognitif, emosi dan tingkah laku. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti hubungan antara model biopsikososial-spiritual dengan pendekatan kerohanian dalam kaunseling Islam sebagai salah satu langkah yang sesuai dengan keperluan semasa. Kajian dijalankan secara kualitatif dengan rekabentuk analisis kandungan. Sumber data diperolehi daripada al-Quran, hadis, artikel jurnal berkaitan Model biopsikososial-spiritual dan kaunseling Islam. Data dianalisis menggunakan kaedah deskriptif bagi memperlihatkan kaitan antara model biopsikososial-spiritual dengan pendekatan kerohanian dalam kaunseling Islam. Dapatan kajian merumuskan keperluan kepada model kaunseling Islam yang boleh dijadikan panduan kepada para kaunselor universiti. Ini kerana kaunseling Islam menekankan aspek kerohanian yang perlu diberi perhatian oleh para kaunselor universiti dalam membantu mahasiswa berhadapan dengan masalah psikologi.



