Keberkesanan Penggunaan Tempurung Kelapa sebagai Bahan Gantian Pasir dalam Pembuatan Bata Simen
Keywords:
Kekuatan Mampatan, Penggantian Pasir, Resapan Air, Tempurung Kelapa, bata simenAbstract
Bata simen yang dihasilkan daripada campuran simen, pasir dan air telah digunakan secara meluas dalam industri pembinaan, terutamanya sebagai bahan utama untuk pembinaan dinding struktur dan bukan struktur disebabkan kosnya yang rendah serta kaedah pengeluarannya yang mudah. Namun, peningkatan permintaan terhadap pasir semula jadi sebagai salah satu bahan asas penghasilan bata simen telah menimbulkan isu alam sekitar seperti hakisan tanah, kemerosotan sumber, dan gangguan ekosistem. Kajian ini bertujuan menilai potensi tempurung kelapa sebagai bahan gantian separa kepada pasir dalam pembuatan bata simen, ke arah pembangunan bahan binaan yang lebih lestari. Campuran simen kepada pasir adalah 1:5 dengan kadar penggantian pasir kepada serbuk tempurung kelapa sebanyak 10%, 15% dan 25%. Sebanyak 24 sampel bata simen bersaiz 100 mm × 100 mm × 100 mm dihasilkan dan diuji selepas pengawetan selama 7 dan 28 hari. Dua ujian dijalankan: penyerapan air bagi menilai kebolehtelapan, dan kekuatan mampatan untuk menentukan ketahanan mekanikal bata. Keputusan menunjukkan bahawa penggantian 10% serbuk tempurung kelapa menghasilkan bata dengan kekuatan mampatan antara 3 hingga 5 MPa serta kadar serapan air di bawah 12%, menepati piawaian MS7.6:1972 untuk bata konkrit bukan beban. Oleh itu, penggunaan bahan ini berpotensi mengurangkan impak alam sekitar sambil mengekalkan ciri-ciri asas bata simen konvensional.



