Kajian Kemahiran Penggunaan Aplikasi Revit dalam Kalangan Pelajar UTHM
Keywords:
Kemahiran, Pelajar, Revit, UTHMAbstract
Kemahiran dan penguasaan perisian Revit dalam kalangan pelajar universiti adalah sangat penting pada masa kini. Ini bagi memastikan mereka memiliki kemahiran dalam menggunakan perisian Revit sebelum bekerja dalam industri pembinaan. Namun begitu, terdapat masalah seperti kurang pembelajaran perisian Revit dalam kurikulum sedia ada serta kurang minat pelajar mempelajari subjek Permodelan Maklumat Bangunan (BIM). Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengkaji tahap kemahiran pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam menggunakan perisian Revit. Selain itu cabaran dan strategi yang boleh diambil untuk meningkatkan penggunaan perisian Revit turut dikaji. Metodologi kajian yang digunakan adalah melalui kaedah kuantitatif bagi pengumpulan data primer dengan pengedaran borang soal selidik kepada pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) di UTHM. Pengumpulan data sekunder pula diambil dari maklumat-maklumat pembacaan buku, jurnal, internet dan lain-lain. Data yang dikumpul dianalisis menggunakan Statistical Package for the Social Science (SPSS) bagi memperolehi maklumat seperti peratusan, min dan purata. Hasil dapatan kajian mendapati tahap kemahiran pelajar UTHM menggunakan aplikasi Revit ialah pada tahap permulaan dengan nilai min 3.43. Manakala cabaran utama yang dihadapi ialah kaedah pembelajaran kurang efisien dengan nilai min 3.39. Kesedaran dan promosi BIM dengan nilai min 3.42 adalah strategi yang penting bagi meningkatkan penggunaan Revit dikalangan pelajar UTHM. Kesimpulannya, kemahiran pelajar UTHM dalam menggunakan perisian Revit adalah diperlukan sebagai persediaan untuk bekerja. Seterusnya kemahiran dalam perisian Revit akan dapat memenuhi keperluan industri pembinaan bagi membantu meningkatkan kualiti sesuatu projek pembinaan.



