Cabaran dalam Pemuliharaan Bangunan Muzium Perak di Taiping
Keywords:
Pemuliharaan, Bangunan warisan, Muzium PerakAbstract
Pemuliharaan bangunan warisan merupakan usaha penting untuk memastikan sejarah dan budaya negara terus terpelihara bagi generasi akan datang. Kajian ini memberi tumpuan kepada Muzium Perak di Taiping, sebuah bangunan bersejarah berusia lebih 100 tahun yang mempunyai nilai sejarah tinggi sebagai pusat pendidikan dan pelancongan. Kajian ini menggunakan kaedah temubual untuk menjawab objektif kajian. Objektif kajian ini adalah untuk mengetahui latar belakang Muzium Perak, mengenal pasti cabaran dalam usaha pemuliharaannya, serta mengkaji inisiatif yang telah diambil oleh pihak muzium. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat beberapa cabaran utama dalam pemuliharaan Muzium Perak, termasuk kesukaran mendapatkan bahan ganti yang sesuai, kekurangan tenaga pakar dalam bidang pemuliharaan, dan pendokumentasian yang tidak lengkap mengenai bangunan bersejarah tersebut. Walaupun demikian, pihak muzium telah mengambil pelbagai langkah pemuliharaan untuk mengekalkan keaslian dan integriti bangunan.Kajian ini menekankan kepentingan pemuliharaan bangunan warisan seperti Muzium Perak untuk memastikan warisan budaya Malaysia terus kekal relevan dan dihargai oleh masyarakat. Penemuan kajian ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai nilai sejarah bangunan warisan, tetapi juga menyediakan rujukan penting bagi usaha pemuliharaan pada masa akan datang.



