Kajian Korelasi Kos Pembinaan dan Harga Jualan Perumahan di Selangor
Keywords:
Harga, Kos, PembinaanAbstract
Kos pembinaan merupakan elemen penting kerana ia merupakan faktor kepada prestasi ekonomi projek. Namun, kontraktor perumahan terpaksa menanggung kos pembinaan yang tidak menentu semasa melaksanakan kerja di tapak bina. Akibatnya, ia telah mengurangkan tahap keupayaan pembelian rumah dalam kalangan komuniti disebabkan kenaikan harga jualan rumah yang mencanak. Oleh itu, objektif kajian adalah mengenal pasti faktor peningkatan kos pembinaan perumahan serta harga jualan perumahan dan mengkaji hubungan antara senario projek pembinaan perumahan dengan kos pembinaan dan harga jualan perumahan di Selangor. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif dengan mengedarkan 2 set borang soal selidik berstruktur kepada pihak kontraktor Gred 7 (G7) dan pemaju perumahan di Selangor. Sebanyak 135 syarikat kontraktor G7 dan 177 syarikat pemaju perumahan di Selangor terlibat sebagai responden telah menjawab borang soal selidik secara atas talian dan fizikal dengan maklum balas masing-masing sebanyak 39.02% dan 62.11%. Kesemua objektif diukur menggunakan analisis deskriptif melalui frekuensi dan korelasi bagi menganalisis data. Analisis mendapati faktor paling utama peningkatan kos pembinaan perumahan ialah kenaikan kos bahan binaan yang disebabkan krisis atau bencana alam. Faktor paling utama peningkatan harga jualan perumahan pula ialah suntikan elemen keselamatan dalam rekabentuk. Hubungan antara senario projek pembinaan perumahan dengan peningkatan kos dan harga jualan perumahan ialah pembelian rumah mencerminkan tahap kejayaan hidup individu dengan kenaikan kos overhead dan pemeliharaan keselamatan berterusan merupakan yang paling signifikan. Kajian ini diharap dapat membantu pihak kontraktor G7 dan pemaju perumahan dalam memandang serius faktor-faktor yang mempengaruhi peningkatan kos pembinaan perumahan dan harga jualan perumahan melalui dapatan pembangunan kerangka hubungan yang boleh menjadi asas rujukan pembinaan perumahan yang lebih berkualiti.



