Penggunaan Teknologi IoT (Internet of Things) Membantu untuk Meningkatkan Keselamatan di Tapak Pembinaan
Keywords:
teknologi iot, kesan, keselamatan, tapak pembinaan, jenis teknologiAbstract
Keselamatan di tapak bina sering menghadapi cabaran akibat kekurangan pengetahuan mengenai peralatan pelindung diri dan kegagalan teknikal pada sensor IoT. Masalah seperti gangguan isyarat real-time (pemantauan masa nyata), ketidakselesaan alat pemantauan, dan keselamatan siber menyebabkan risiko kecederaan, keracunan, atau kematian meningkat di kalangan pekerja. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti jenis teknologi Internet of Things (IoT) yang sesuai untuk meningkatkan keselamatan pekerja di tapak bina, menilai kesan penggunaan pendekatan IoT kepada pekerja untuk meningkatkan keselamatan pekerja di tapak pembinaan, dan mencadangkan strategi agar penggunaan IoT dapat dipertingkatkan penggunaan di tapak pembinaan bagi membantu meningkatkan keselamatan pekerja. Kajian ini memberi tumpuan kepada kontraktor G7 di negeri Johor. Metodologi kajian melibatkan edaran borang soal selidik secara atas talian kepada 260 responden dan maklumbalas responden yang diterima adalah 171 iaitu 65.8%. Data dianalisis menggunakan kaedah statistik deskriptif seperti nilai min, peratusan, dan sistem kedudukan. Dapatan menunjukkan bahawa dron dan kamera pintar adalah teknologi paling berkesan dalam memantau kawasan berisiko tinggi, diikuti oleh penggunaan RFID untuk mengurangkan risiko kecurian bahan. Hasil analisis mendapati bahawa IoT memberikan impak positif melalui amaran masa nyata, meningkatkan pemantauan penggunaan peralatan pelindung diri (PPE), dan meningkatkan rasa selamat pekerja. Responden mencadangkan integrasi data IoT ke dalam sistem pengurusan keselamatan dan pelaburan dalam teknologi IoT sebagai strategi utama. Kajian ini membuktikan bahawa IoT dapat meningkatkan keselamatan pekerja secara signifikan, terutamanya dengan pelaksanaan strategi yang berkesan untuk mengatasi cabaran kos dan teknikal.



