Niat Mengunjung Semula Kedai Bubble Tea dalam kalangan Pelajar Universiti
Keywords:
Niat lawatan semula, sikap, norma subjektif, kawalan tingkah lakuAbstract
Industri bubble tea telah berkembang pesat di Malaysia dan menjadi pilihan minuman yang popular, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Namun, tahap kesetiaan pelanggan dan niat untuk mengunjungi semula masih kurang difahami, justeru memerlukan kajian lanjut bagi mengenal pasti faktor tingkah laku yang mempengaruhi keinginan generasi muda. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji hubungan antara sikap, norma subjektif, kawalan tingkah laku yang dirasakan dan niat untuk mengunjungi semula kedai bubble tea dalam kalangan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Pendekatan kuantitatif telah digunakan dengan borang soal selidik berstruktur yang diedarkan secara sistematik menggunakan media sosial kepada 375 pelajar yang dipilih melalui kaedah persampelan rawak berstrata. Data dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 27 untuk menilai hubungan antara pembolehubah bebas (sikap, norma subjektif dan kawalan tingkah laku) dengan pembolehubah bersandar (niat lawatan semula). Dapatan kajian menunjukkan hubungan positif yang signifikan antara ketiga-tiga pembolehubah bebas dengan niat lawatan semula, yang menandakan bahawa faktor psikologi dan sosial ini memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan pelajar untuk mengunjungi semula kedai bubble tea. Kajian ini mencadangkan bahawa pemahaman terhadap faktor tingkah laku ini boleh membantu pihak perniagaan merangka strategi yang lebih berkesan dalam meningkatkan pengekalan pelanggan. Kajian masa hadapan disarankan untuk melibatkan demografik yang lebih luas serta meneroka pembolehubah tambahan seperti imej jenama, kualiti perkhidmatan, atau persepsi harga bagi memberikan gambaran yang lebih menyeluruh terhadap tingkah laku pengguna dalam pasaran bubble tea.



